|     MANUSIA tidak luput   daripada salah, khilaf dan dosa. Namun sebaik-baik orang yang berbuat salah   dan dosa adalah mereka yang cepat kembali kepada Allah seraya memohon ampun   kepada-Nya. Ini yang dikatakan Allah   dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang   melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu mereka bertaubat   dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya.” (Surah al-Nisa’,   ayat 17) Sayyid Qutb dalam   tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menyatakan bertaubat dalam waktu yang dekat   adalah bertaubat sebelum meninggal dunia atau memasuki sakaratul maut. Sebab   hakikatnya manusia sangat dekat dengan kematiannya dan mereka tidak   mengetahui bila akan meninggal dunia. Untuk itu mereka harus sentiasa   bersiap-siap untuk menghadapi kematian yang boleh datang bila-bila masa saja. Syeikh Mustafa al-Maraghi   dalam tafsir al-Maraghi menyatakan, bertaubat dalam waktu yang dekat bermakna   seseorang yang melakukan dosa akibat kebodohan dan kelalaian harus bertaubat   seberapa segera mungkin apabila sedar akan kesalahan yang dilakukannya. Namun Sayyid Qutb dan   al-Maraghi bersepakat, taubat yang diterima Allah adalah mereka yang   bertaubat dari lubuk hati yang dalam dan ceruk jiwa yang suci. Mereka   menyesali perbuatan itu serta berusaha sekuat tenaga untuk tidak melakukannya   di masa akan datang. Ertinya Allah menerima taubat manusia bergantung kepada   niat tulus ikhlas manusia itu. Dosa manusia pada   hakikatnya dapat dibahagi kepada dua, dosa kepada Allah dan dosa kepada   manusia. Dosa kepada Allah dapat dihilangkan dengan beberapa cara. Dosa kecil   dapat dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah dan dosa biasa dapat   dihapus dengan ibadat. Dosa besar haruslah   diselesaikan dengan taubat kecuali amalan syirik. Perbuatan itu dosanya tidak   akan diampunkan sehingga seseorang itu meninggalkan semua anasir syirik   seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia   akan mengampuni dosa selain itu.” (Surah al-Nisa’, ayat 48) Namun sesungguhnya dosa   yang paling berat itu adalah dosa di antara manusia dengan manusia. Sebab   dalam masalah ini Allah tidak ikut campur sebelum manusia itu   menyelesaikannya terlebih dulu. Hal itu dinyatakan dalam   hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: “Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak   diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah dan ketiga kezaliman yang   Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah   adalah syirik. Kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atas dirinya   dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara   manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dulu.” Allah tidak akan   mengampunkan dosa seorang hamba kepada hamba yang lain sebelum kedua belah   pihak menyelesaikan permasalahan mereka terlebih dulu. Jika tidak, pada   akhirat nanti mereka akan saling menuntut balas dan membayar dosa dengan   kebaikan atau memindahkan dosa orang dizalimi kepada yang menzalimi. Pada hari itu mahkamah   dipimpin Allah Maha Adil. Maka tidak ada sedikit pun kezaliman yang tidak   dibalasi dan tidak ada sebesar zarahpun kebaikan kecuali akan diperlihatkan. Oleh sebab itu meminta   maaf ke atas dosa dilakukan kepada orang lain adalah sesuatu keharusan yang   mesti dilakukan sebab meminta maaf di dunia jauh lebih mudah daripada harus   membayar kesalahan itu pada akhirat kelak. Tidak seorang pun yang dapat   membayangkan bagaimana dahsyat dan hebatnya alam akhirat. Namun Islam adalah agama   penuh kasih sayang. Maka setiap Muslim dianjurkan untuk memberi maaf sebelum   orang meminta maaf. Sebab memberi maaf itu lebih dekat kepada ketakwaan   seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada takwa.”   (Surah al-Baqarah, ayat 237) Walaupun memberi maaf itu   bukanlah sesuatu kewajipan, namun memberi maaf memiliki nilai yang sangat   besar di sisi Islam. Orang yang memaafkan selepas diminta maaf akan   mendapatkan pahala memaafkan dan pahala daripada kezaliman ke atasnya. Namun orang yang   memaafkan sebelum diminta maaf akan mendapat keuntungan sangat besar, iaitu   ketenangan jiwa di dunia dan balasan berlipat ganda pada akhirat kelak, jauh   melebihi nilai kezaliman yang dimaafkan itu. Sempena mengakhiri   Ramadan yang suci dan memasuki Syawal mulia sewajarnya kita membuka pintu   maaf untuk siapa saja. Berikan ruang dalam hati untuk saling memaafkan kerana   itu lebih utama daripada menyimpannya berlarutan di jiwa.  |   
 sumber asal:   








Tiada ulasan:
Catat Ulasan